KUALA LUMPUR, 27 Ogos: Dato' Seri Nizar Jamaluddin yakin Persidangan Dun Perak 2 September depan akan berjalan lancar sekaligus tidak akan mengulangi insiden 7 Mei lalu akibat tindakan BN yang melanggar lunas peraturan dan undang-undang sedia ada.
Sidang minggu depan itu, katanya amat penting kerana titah Sultan Perak, Sultan Azlan Shah belum dibahaskan lagi malah pada 7 Mei itu, tiada persidangan pun yang berlangsung memandangkan keceohan yang berlaku berikutan pelantikan Speaker 'haram' yang baru, yang tidak mengikut peraturan Dun.
Adun Pasir Panjang dan Ahli Parlimen Bukit Gantang itu berkata kepada Harakahdaily pagi ini bahawa sidang itu juga akan membentangkan usul pengantunggan Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dan Timbalan Speaker Hee Yit Foong oleh Jawantankuasa Hak dan Kebebasan yang dipengerusikan oleh Speaker V. Sivakumar.
Masing-masing dikehendaki membayar denda sejumlah RM500,000 dan RM250,000 setiap seoarang akibat tindakan mereka yang menghina DUN dan kuasa Speaker, katanya.
Bagaimanapun, berhubung status Speaker 'haram' Datuk M Ganesan yang dilantik 7 Mei lalu, Nizar menjelaskan, satu permohonan injuksi akan dibuat untuk menghalang dalam menjalankan tugas Speaker yang masih disandang oleh Sivakumar.
"Selama ini, Adun-adun Pakatan Rakyat Perak senantiasa mengikut peraturan dan yang memulakan kekacauan serta menggunakan pihak keselamatan untuk campur tangan serta mengheret keluar Speaker adalah pihak yang lagi satu.
"Mereka sebenarnya yang menghina Dewan dan Tuanku Sultan. Kita patuh pada peraturan...apabila Speker panggil, kita wajib hadir," katanya ketika dihubungi. Image
Nizar turut mengulas sidang Dun 'bawah pokok' 3 Mac lalu,(gambar) berpunca daripada perbuatan menghalang Speaker dan Adun-Adun memasuki bangunan Dewan Undangan Negeri Perak.
Semalam Sivakumar telah memfailkan saman terhadap Setiausaha Kerajaan Negeri Perak Datuk Dr Abdul Rahman Hashim untuk menuntut ganti rugi, ganti rugi teruk dan ganti rugi contoh.
Writ saman itu yang difailkan melalui Tetuan Chan & Associates di pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Ipoh tengah hari semalam, mendakwa Setiausaha Kerajaan Negeri itu atau pekerja atau ejennya telah menghalang beliau dan anggota DUN daripada menghadiri dan memasuki Dewan Negeri yang terletak di Bangunan Perak Darul Ridzuan pada 3 Mac lepas.
Pada 21 Ogos lalu, pihak Adun Pakatan Rakyat telah menghantar notis guaman dan memberi tempoh selama 48 jam kepada Abd. Rahman untuk memberi aku janji supaya tidak campur tangan pada persidangan Dewan 2 September ini.
Sebelum ini turut mengulas isu krisis yang berlaku di Perak ialah pakar perlembagaan, Profesor Dr Abdul Aziz Bari yang berpendapat sidang Dun 7 Mei itu sebagai tidak sah. Image
Aziz menjelaskan dari awal lagi sidang telah menyingkirkan kedudukan dan kuasa Speaker V. Sivakumar yang kemudian berlanjutan kepada bermacami arahan dibuat oleh Setiausaha Dun dan Setiausaha Kerajaan yang tidak mempunyai bidang kuasa yang sah.
"Hari itu Hee Yit Foong yang bertindak memulakan sidang meskipun Sivakumar ada dan masih belum disingkirkan. Itu belum lagi mengambilkira kedudukan Hee yang sebenarnya masih di dalam penggantungan.
"Bagaimana Hee boleh dibenarkan memulakan prosiding yang kemudian memilih Datuk M Ganesan," soal Aziz.
Paling menyedihkan, kata Aziz lagi, sebagaimana sidang di bawah pokok Mac lalu ,sekali lagi polis memainkan peranan utama.
Aziz menyifatkan kekecohan di Dun Perak itu adalah yang kedua selepas rampasan kuasa oleh BN pada 5 Februari dan pihak polis juga menghalang sidang Dun Perak Mac lalu sehingga ia terpaksa diadakan di bawah pokok kira-kira 100 meter dari premis rasmi.
"Apa yang berlaku di Perak itu bagaikan persetubuhan haram yang melahirkan anak dan cucu yang kemudiannya melibatkan komplikasi dan kekeliruan tentang taraf dan hak anak-anak yang tidak berdosa itu," katanya. _
Sijil Herbalis HPA ( EXPRESS )
12 years ago
No comments:
Post a Comment