Dr Muhammad Nur Manuty
Ogos 27, 09
komentar Polemik yang melanda negara mengenai isu hukuman sebat ke atas Kartika Sari Dewi Shukarno yang sedang hebat diperkatakan sekarang ini menampakkan dengan jelas kekeliruan banyak pihak – orang Islam dan bukan Islam - mengenai prinsip keadilan Islam dalam melaksanakan syariah.
Isu ini hendaklah dilihat dalam satu perspektif yang tepat dan holistik. PKR berpandangan bahawa ia bukan berpunca dari keraguan kepada keadilan syariah Islam, tetapi ia lebih disebabkan oleh lunturnya kepercayaan ke atas integriti sistem pentadbiran dan pelaksanaan syariah itu sendiri.
Sebagaimana integriti sistem kehakiman negara yang terhakis lantaran pelbagai gejala skandal, maka perkara yang hampir sama jugalah terjadi kepada pelaksanaan hukum syariah kita.
Jelasnya, ia telah dicemari oleh pengaruh sistem politik negara masakini yang dibarahi dengan pelbagai penyelewengan dan gejala rasuah.
Maka akibatnya, kita melihat pelbagai ketempangan dan ketidakadilan berlaku dalam pelaksanaan hukum Islam di negara ini.
Banyak kes yang melibatkan golongan atasan dan berpengaruh tidak diadili dengan seadilnya dan akhirnya mereka dibebaskan daripada sebarang tindakan undang-undang syariah.
Memadailah kami memberikan dua contoh berikut:
Mufti Selangor yang dipecat lantaran mempertahankan tindakan undang-undang syariah yang dilaksanakan di negeri tersebut.
Kegagalan pihak berkuasa agama Wilayah Persekutuan bertindak segera menyiasat aduan fitnah liwat yang dilemparkan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Amat ketara, agensi pelaksana hukum syariah tidak mampu melaksanakan keadilan kerana tekanan dari parti yang memerintah. Akibatknya, mereka dilihat gagal menangani pelbagai isu secara tuntas, menyeluruh dan seadilnya tanpa mengira status dan gender.
Hasilnya, kredibiliti agensi-agensi ini akan sentiasa dipandang rendah dan tidak meyakinkan rakyat.
Fenomena yang sama sedang dialami dalam kes jenayah arak. Ia hanya melibatkan hukuman terhadap orang awam yang lemah, rakyat yang miskin dan kaum wanita.
Pihak berkuasa dilihat gagal untuk bertindak dan menghukum para usahawan, tokoh politik dan pemimpin yang berada di belakang industri arak ini.
Dalam kes Kartika Dewi, PKR berpandangan bahawa dalam keadaan para ulama sendiri berbeza pendapat tentang jenis hukuman dan bilangan sebatan, hukuman yang dijatuhkan (terhadap wanita ini "mendekati" hukuman Islam.
Namun begitu, sikap Kartika yang mengakui dan menyesali kesalahannya, serta tidak membantah hukuman yang dikenakan amatlah dipuji.
Ia menampakkan, sebahagian daripada matlamat pelaksanaan hukuman syariah telah tercapai maksudnya.
Kita juga berpandangan bahawa Kartika berhak mengemukakan rayuan untuk diringankan hukuman ke atas dirinya dan pihak bertanggungjawab wajib mempertimbangkan rayuannya itu.
Sehubungan hal di atas, semua pihak perlu mengambil iktibar daripada sepotong ayat al-Qur'an yang bermaksud:
"Lelaki yang mencuri dan perempuan yang mencuri, potonglah tangan keduanya sebagai pembalasan bagi apa yang mereka kerjakan dan sebagai siksaan daripada Allah. Dan Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. Maka barangsiapa yang bertaubat sesudah melaksanakan kejahatan itu dan memperbaiki diri, maka sesungguhnya Allah menerima taubatnya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Al Ma'idah: 38-39)
Sebagai jalan keluar, dalam usaha ke arah mengakhiri permasalahan di atas untuk jangka pendek PKR ingin mencadangkan langkah-langkah berikut:
- Kartika Dewi perlu diberi peluang untuk membuat rayuan untuk diringankan hukuman ke atas dirinya.
- Semua pihak berkuasa termasuk pemimpin-pemimpin politik hendaklah memberi kebebasan kepada autoriti perlaksanaan syariah bagi melaksanakan tugas mereka secara professional.
- Mengiktiraf hakikat kuasa mentadbir hukum syariah adalah milik seutuhnya umat Islam.
Untuk jangka panjang, agensi pelaksana hukum syariah hendaklah diperkasakan melalui:
- Program-program tarbiyyah mendidik masyarakat Islam supaya mengelakkan diri dan meminum arak hendaklah dilancarkan secara besar-besaran oleh semua pihak –agensi kerajaan, swasta dan pertubuhan-pertubuhan NGO.
- Latihan-latihan yang lebih professional dalam pelbagai bentuk berkaitan.
- Usaha-usaha penyelarasan dan penyeragaman hukuman syariah segera dilakukan diseluruh negara.
- Rakyat perlu mempastikan wujudnya barisan kepimpinan negara yang berilmu pengetahuan dalam hal-hal keagamaan dan berintegriti.
- Selagi sistem politik negara gagal dirobah dan direformasikan, maka selagi itulah perjalanan mahkamah syariah kita tidak akan dapat berjalan dengan seadilnya. Kegagalan melaksanakan Islam secara adil akan menjadikan Islam terus dipandang lemah oleh orang bukan Islam dan di mata masyarakat antarabangsa.
Artikel ini kenyataan Dr Muhammad Nur Manuty, bekas presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), kini pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama PKR
Sijil Herbalis HPA ( EXPRESS )
12 years ago
No comments:
Post a Comment