Sunday, September 27, 2009

UMNO Rantau Panjang Bergolak, UMNO Kelantan Menuju Kehancuran

UMNO Kelantan Cacamarba apabila Badan Perhubungan Umno Kelantan terpaksa menubuhkan jawatankuasa khas bagi menyiasat dua persidangan perwakilan Umno Bahagian Rantau Panjang yang diadakan serentak di dua lokasi pada Jumaat lalu.

Pengerusinya Datuk Mustapa Mohamed berkata jawatankuasa itu diketuai timbalannya Senator Datuk Dr Awang Adek Hussein yang akan meneliti laporan mengenai dua mesyuarat itu, lapor Bernama.

“Laporan itu kemudiannya akan dipanjangkan ke ibu pejabat Umno untuk mengambil langkah perlu,” katanya kepada pemberita selepas majlis penerimaan memorandum sembilan kertas kerja pada Muzakarah Hukum-Hukum Islam di sini, pada Ahad.

Jumaat lepas, kumpulan diketuai Ketua Umno Bahagian Rantau Panjang Abdullah Mat Yasin mengadakan persidangan perwakilan di Dewan Kolej Kemahiran Tinggi Mara, Lubok Jong di Pasir Mas manakala kumpulan yang diketuai Pengerusi Tetap Umno bahagian itu, Che Alwi Che Haron mengadakan persidangan perwakilan di Dewan Umno Kampung Lati, Rantau Panjang.

Mustapa berkata isu dua mesyuarat itu adalah serius dan akan dijalankan siasatan segera.

Sementara itu di dalam satu perkembangan lain, Umno Bahagian Bukit Mertajam yang mengadakan persidangan perwakilannya hari ini menolak sebulat suara cadangan UMNO untuk meminda perlembagaan parti itu.

Ketuanya Senator Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata 173 perwakilan daripada 38 cawangan di bahagian itu, menolak cadangan pindaan perlembagaan Umno kerana ia dilakukan dalam keadaan tergesa-gesa.

“Sepatutnya, setiap ahli dan bahagian perlu mendapatkan penjelasan yang terperinci mengenai perkara-perkara yang hendak dipinda dan diberikan masa yang mencukupi untuk membincang dan membahaskannya,” katanya kepada Bernama.

Katanya, sebelum sebarang pindaan dibuat terhadap perlembagaan parti, kajian teliti perlu dibuat mengenai kesesuaian pindaan dan implikasinya.

Musa, yang membentangkan usul menolak cadangan itu, mahu ahli Majlis Tertinggi Umno turun ke setiap bahagian dan menjelaskan secara terperinci pindaan yang hendak dilakukan supaya ia dapat diterima secara menyeluruh.

Katanya penjelasan yang diberikan kepada wakil bahagian sebelum ini tidak lengkap dan tidak difahami sepenuhnya.

Sehubungan itu, Musa berkata bahagian berkenaan membuat ketetapan meminta Umno pusat mengkaji semula semua pindaan yang dicadangkan dan memberikan lebih masa untuk idea itu dicanai sebelum dipersetujui.

No comments:

Post a Comment

Blog Widget by LinkWithin